Thursday, March 11, 2010

Kampung tradisi

Kekal sebagai kampung tradisi
Oleh Halina Mohd Noor

2010/03/08
SENTUL: Kampung Padang Balang di sini akan dikekalkan sebagai kampung tradisi sekiranya penduduk membantah dengan rancangan pembangunan seperti yang digariskan dalam Draf Pelan Kuala Lumpur 2010 (DPBRKL 2010).

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin, berkata beliau memberi jaminan kerajaan sentiasa akan mendengar permintaan dan keinginan penduduk sebelum DPBRKL 2010 diwartakan.

"Kita memberi jaminan kepada penduduk, kita tidak akan buat apa-apa tanpa persetujuan mereka. Kalau pembangunan di Kampung Baru dan Kerinchi tidak diteruskan dengan permintaan penduduk, samalah seperti di sini juga.

"Draf Pelan mungkin bermatlamat memberi kemudahan kepada penduduk sebagai kawasan khusus tetapi sekiranya penduduk hendak mengekalkan kampung mereka sebagai kampung tradisi, kerajaan tidak akan memaksa. Jadi, tidak timbul isu paksaan di sini," katanya di sini, semalam.

Beliau ditemui pada majlis Kenduri Kampung Pemimpin Bersama Rakyat di sini yang turut dihadiri lebih 200 penduduk. Terdahulu penduduk kampung turut menerima kunjungan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Fuad Ismail.

Sebelum ini penduduk membantah DPBRKL 2010 khususnya pembinaan Transit Aliran Ringan (LRT) yang merentasi kampung berkenaan.

Raja Nong Chik berkata, proses pendengaran awam mengenai DPBRKL 2010 sudah dijalankan pada Jun 2009 dan kini masih di dalam proses untuk merombak pelan berkenaan mengikut keinginan penduduk.
"Kita menjangkakan sebarang pindaan akan dibentangkan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur pada Oktober ini sebelum pelan ini diwartakan pada hujung tahun ini. Mengenai pembinaan LRT, saya sendiri akan bantah jika ia benar-benar tidak sesuai dibina di situ.

"Hak tanah penduduk akan terus kekal jadi Tanah Rizab Melayu dan kita akan pastikan kehendak penduduk dipenuhi sekiranya permintaan mereka itu ada asasnya. Matlamat kerajaan menyediakan infrastruktur yang lebih baik tetapi perlu berunding juga," katanya.

Sumber: Berita Harian
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...