Bila Raja Nong Chik kata nk jadikan Kerinchi macam KL Sentral, saya terfikir 'bolehkah?'. Kerinchi memang dah lama wujud dalam peta Kuala Lumpur, malah Kampung Kerinchi diketahui ramai sebagai salah satu kampung lama yang masih wujud kat KL nih. Jadi macam mana Raja Nong Chik nak majukan kawasan tu, nak buat setanding dengan KL Sentral.
Ni artikel yang saya ambil dari Blog Raja Nong Chik.
@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@
KUALA LUMPUR 22 April – Pelan pembangunan Kampung Kerinchi di sini akan menjadikan kawasan itu setanding dengan kawasan pembangunan KL Sentral.
Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, pelan pembangunan kawasan di sekitar Kerinchi yang dirancang bukan sahaja merangkumi kemajuan fizikal tetapi juga usaha menaikkan taraf kehidupan penduduk di situ.
Jelasnya, pelbagai projek termasuk laluan jalan berbumbung yang akan menghubungkan terus kawasan Kerinchi dengan pusat beli-belah Midvalley yang berhampiran akan dilaksanakan.
“Kita lihat Kerinchi sendiri mengalami pembangunan pesat terutamanya dari segi infrastruktur sejak kebelakangan ini.
“Kita mahu banyak peluang pekerjaan diwujudkan di kawasan ini, selain menjamin lokasi kediaman dan pejabat tidak terlalu jauh,’’ katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan cawangan Restoran The Chicken Rice Shop (TCRS) yang ke-53 sempena ulang tahunnya yang ke-10 di Bangsar South di sini.
Turut hadir, Pengerusi TCRS, Tunku Datuk Mu‘tamir Tunku Tan Sri Mohamed dan Pengarah Urusan serta Pengasas TCRS, Wong Cheng Gaik.
Raja Nong Chik berkata, peluang pekerjaan yang dilihat bakal dinikmati oleh kira-kira 100,000 penduduk di sekitar kawasan itu juga disifatkan ‘durian runtuh’ kepada masyarakat setempat.
“Kita mahu sektor swasta berganding bahu bersama-sama kerajaan dalam menjana ekonomi di ibu kota termasuk di kawasan Kerinchi ini.
“Penduduk akan menikmati kesenangan ke pejabat dan ke rumah dalam satu lokasi setempat sahaja,’’ ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, pembangunan yang dirancang juga dijamin tidak mengubah suasana selesa yang sedang dinikmati masyarakat di Kampung Kerinchi hari ini.
Tegasnya, perancangan yang dibuat akan sentiasa menurut kehendak penduduk dan tidak mengenepikan unsur kemodenan yang akan dibawa.
“Kita beri jaminan pembangunan kelak akan mengekalkan suasana bandar yang selesa dan nyaman kepada penduduknya.
“Walaupun ia akan menjadi salah sebuah bandar besar namun kita tidak mahu kesesakan dan kepesatan pembangunan yang melampau sehingga menyusahkan masyarakat di sini nanti,’’ katanya.
Sumber: Utusan Malaysia
Oleh WAN SYAMSUL AMLY WAN SEADEY
kota@utusan.com.my
@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@
Kita tunggu je la apa yang Raja Nong Chik buat nanti, betul tak?