Friday, January 29, 2010

Temu ramah bersama Datuk Raja Nong Chik (part 2)

Ini merupakan sambungan dari entri yang lepas. Juga sambungan temu ramah wartawan Bernama Online bersama dengan Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin mengenai rancangan jangka pendek kebajikan penduduk Kuala Lumpur.

Keratan berita itu boleh dibaca di sini.

29 Januari, 2010 14:37 PM

Program Basmi Miskin Bandar Bermula Jun Ini

Oleh Jumiati Rosly

Bahagian 2, temu bual dengan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan

PUTRAJAYA, 29 Jan (Bernama) -- Membasmi kemiskinan di bandar kini menjadi keutamaan dalam tanggungjawab Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar apabila kerajaan mengubah fokus untuk membantu mereka yang memerlukan di bandar-bandar.

Mereka yang miskin di bandar, terpinggir sebelum ini kerana dasar kerajaan untuk membantu mereka ditumpukan kepada kawasan luar bandar yang dikaitkan dengan kemiskinan. Bagaimanapun penghijrahan dari luar bandar ke bandar, membawa bersama masalah kemiskinan ini.

Menteri berkenaan Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata bermula Jun, kerajaan akan menggariskan peranan kementerian dalam menangani kemiskinan bandar di Kuala Lumpur.

"Tumpuan akan diberikan di kawasan yang ramai berpendapatan rendah seperti di Projek Perumahan Rakyat (PPR), perumahan awam dan baki setinggan yang masih ada. Begitu juga di kawasan yang agak ketinggalan seperti di Chow Kit, Kampung Baru dan Kampung Pandan," katanya dalam temubual eksklusif dengan Bernama di pejabatnya di sini.

Pada pembentangan Bajet 2010 Oktober tahun lepas, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Kementerian Wilayah Persekutuan diperkukuh dan dibesarkan skopnya serta ditukar nama kepada Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.

Raja Nong Chik berkata penghijrahan penduduk dari luar bandar ke bandar sejak 30 tahun yang lepas menyebabkan kini 63 peratus rakyat Malaysia duduk di bandar dengan majoritinya di Kuala Lumpur.

"Ini bermakna demografi penduduk sudah berubah tetapi dalam masa yang sama tumpuan dan program kerajaan sebelum ini ditumpukan di luar bandar menerusi pelbagai program seperti Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda).

"Jika dibandingkan, kadang-kadang sesetengah jalan di luar bandar ada yang lebih baik daripada jalan di dalam bandar. Orang selalu menganggap kerana infrastruktur dah cukup, maka tidak perlu diberi tumpuan tetapi kita lupa bagaimana dengan nasib orang yang sudah berhijrah ke dalam bandar dan tidak berkemampuan," katanya.

Bagaimanapun bilangan mereka yang miskin tegar ini tidak besar tetapi suara kelompok ini membawa banyak implikasi kepada pelbagai pihak.

Di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9), program yang dilakukan tertumpu kepada golongan miskin tegar yang diperoleh daripada sistem e-kasih, satu sistem pangkalan data kemiskinan yang dibangunkan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri.

"Program membantu orang miskin dalam bandar termasuk memberi bantuan pembiayaan sewa rumah kepada yang tak mampu membeli rumah, dan bagi mereka yang layak, mereka mungkin dibantu membeli Amanah Saham Nasional (ASN) misalnya," katanya.

Selain itu, katanya, bantuan bagi murid-murid sekolah dan bantuan bagi meningkatkan kemahiran sedang dikaji dan tertakluk kepada peruntukan yang diperoleh kementerian.

-- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...