Berikut adalah penulisan Ridhuan Tee Abdullah dalam kolumnis Sinar Harian. Selamat membaca.
oleh RIDHUAN TEE ABDULLAH
8/15/2011 6:52:07 AM
Insiden serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas sebuah gereja Methodist di Damansara Utama sengaja diperbesar-besar untuk meraih simpati, seolah-olah mereka ditindas, tidak bersalah dan tidak diberikan hak. Tindakan Jais dipersalahkan seratus peratus. Mereka sahaja yang betul dan suci. Licik sungguh perancangan ultra kiasu ini. Awalnya saya cuba bersangka baik terhadap mereka ini demi dakwah, tetapi berdasarkan pengalaman berkecimpung dalam NGO, amat sukar rasanya untuk berbuat demikian. Saya tidak menafikan sumbangan semua kaum di negara tercinta ini. Tetapi jika semuanya mahu berkira, elok kita melakukan kira-kira dan tolak campur untuk melihat siapakah yang memberi lebih banyak sumbangan?
Perlu diingat, negara ini bukan seperti negara kepulauan Melayu lain seperti Indonesia atau Singapura. Janganlah terlalu biadab dan kurang ajar mencampuri hal ehwal Islam. Agama Islam dilindungi Perlembagaan Persekutuan. Bukan itu sahaja, hal ehwal Islam dan keadaan umat Islam di bawah bidang kuasa penuh negeri dan sultan. Jabatan Agama ada hak untuk bertindak sekiranya wujud keadaan yang boleh mengganggu-gugat kedudukan agama Islam.
Oleh kerana pihak Kristian terlalu banyak bercakap soal sumbangan, sempena bulan kemerdekaan ini mari kita nilai sumbangan siapakah yang paling besar kepada negara tercinta ini, supaya kita tidak terlalu terhutang budi dan terjebak dalam perangkap mereka. Setelah dicongak-congak, pada hemat saya, sumbangan Peribumi Melayu Islamlah yang paling besar. Tidakkah toleransi Melayu Islam hari ini yang menyebabkan orang lain boleh jadi kaya-raya dan mengamalkan agama mereka seolah-olah negara ini bukan lagi negara Islam? Sumbangan yang tidak ada tolok bandingnya adalah memerdekakan negara tercinta ini daripada penjajah berniat jahat membawa mesej gold, glory dan gospel (3G) serta ancaman komunis.
Bacalah bersama sejarah mengenai kebangkitan nasionalisme. Tokoh-tokoh Melayu dan Bumiputera seperti Penghulu Dol Said, Naning (1831-32), Raja Mahadi, Selangor (1867-74), Sultan Abdullah, Raja Ismail, Dato Maharaja Lela, Tok Sagor, Pandak Endut, Perak (1875), Tengku Antah, Negeri Sembilan (1875-76), Tok Gajah, Dato Bahaman, Mat Kilau, Pahang (1891-95), Sharif Masahor, Rentap, Banting (1853-1908), Mat Salleh, Antanum, Sabah (1894-1905), Tok Janggut, Kelantan (1915), Abdul Rahman Limbung (1921-28) dan banyak lagi tokoh yang boleh ditonjolkan akan besarnya sumbangan mereka menentang 3G tersebut. Siapa pula tokoh-tokoh yang menentang komunis?
Kenapa jarang sekali mendengar nama-nama bukan Melayu atau orang Kristian ketika itu, yakni saat yang paling getir era 1800an hingga 1900an? Ketika itu orang bukan Melayu sudah berada di Tanah Melayu. Wajah-wajah bukan Melayu hanya muncul sekitar tahun 1950-an, detik ketika penjajah sudah memang tidak dapat bertahan lagi. Maka, sebagai syarat, kemerdekaan hanya diberikan jika Melayu dapat menerima bukan Melayu. Sebagai timbal balik hak-hak istimewa Melayu diberikan dan kedudukan agama Islam dilindungi. Penjajah sedar ‘dosa besar’ yang mereka telah lakukan. Penyatuan antara kaum hanya alasan British sahaja. Jika ketiga-tiga kaum ini tidak bersatu pun ketika itu kebangkitan nasionalisme Melayu Islam sudah sampai ke peringkat puncak.
Bayangkan ketika Melayu Islam berkeras untuk tidak menerima bukan Melayu. Selepas merdeka, apakah nasib bukan Melayu ketika itu? Tetapi inilah kebaikan Melayu Islam yang kita tidak boleh lupakan sama sekali, malah seumur hidup.
Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao janganlah mengeluarkan kenyataan tanpa mendengar dahulu penjelasan Jais. Jais dan polis menyerbu Gereja Methodist Damansara Utama dalam ruang lingkup yang dibenarkan undang-undang. Apakah majlis tersebut benar-benar makan malam? Atau ada udang di sebalik batu? Janganlah menipu. Saya tidak nampak tindakan Jais melanggar kebebasan rumah ibadat yang dijamin Perlembagaan.
Lihatlah betapa besarnya pengorbanan dan toleransi Melayu Islam. Orang lain bagaimana pula? Misalnya, kerajaan negeri Perak meminta Ipoh Hindu Devastana Paripalana Sabah menyerahkan lebih kurang setengah ekar tanah rizab perkuburan Hindu di Buntong bagi pembinaan sebuah krematorium moden bagi masyarakat bukan Islam. Idea ini ditentang habis-habisan secara bersepadu. Berita ini disensasikan. Bila tanah rezab mereka diambil sedikit, heboh satu dunia. Tetapi sedarkah kita berapa banyak tanah rezab Melayu yang telah tergadai? Melayu tetap diam, tidak pernah bising pun. Orang lain pantang diusik. Malang sungguh jadi Melayu, Inilah nasib Melayu di bumi Melayu.
0 comments:
Post a Comment