Thursday, May 7, 2009

Raja Nong Chik bantu peniaga tulen

Raja Nong Chik ada berkata, "memang ramai peniaga Melayu tetapi di belakang mereka orang lain. Mereka mendapat projek tetapi yang untung orang lain." Justeru itu, Raja Nong Chik gariskan usaha-usaha bertujuan membantu peniaga-peniaga Melayu tulen demi meningkatkan taraf ekonomi mereka.

Berikut adalah petikan berita yang saya ambil dari Utusan Malaysia Online.

------------------------------------------------------------------------------------

Hanya peniaga tulen dibantu

Oleh A. JAILANI ABDULLAH
kota@pengarang.utusan.com.my


KUALA LUMPUR 5 Mei - Peniaga kecil Melayu di ibu negara akan dibantu untuk dinaik taraf agar tidak terus berniaga di gerai-gerai kecil sahaja, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Senator Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Katanya, usaha juga akan dilakukan untuk membantu golongan peniaga untuk menyara hidup yang kini berniaga secara haram.

Namun, tegas beliau, semua usaha membantu itu adalah untuk perniagaan yang dimiliki sepenuhnya oleh peniaga Melayu sahaja.

"Memang ramai peniaga Melayu tetapi di belakang mereka orang lain. Mereka mendapat projek tetapi yang untung orang lain.

"Mereka ini bukan peniaga Melayu tulen. Sebelum ini, saya juga adalah golongan peniaga dan saya tahu peritnya kalah kepada peniaga bukan Melayu tulen ini," ujar beliau.

Ujarnya, peniaga kecil Melayu tidak seharusnya dibiarkan terus menjalankan perniagaan di gerai-gerai tepi jalan dan kompleks beli-belah sahaja, sebaliknya perlu diberikan peluang untuk memiliki kedai sendiri.

"Jika terus berniaga di gerai tepi jalan bila hendak maju," katanya ketika merasmikan mesyuarat agung Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) Cawangan Kuala Lumpur ke-8 di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau akan meminta kerjasama agensi-agensi kerajaan lain untuk memastikan peniaga Melayu mempunyai aset kekal di ibu negara.

"Sudah sampai masanya kepercayaan diberikan kepada peniaga Melayu untuk memiliki premis yang disewa, contohnya daripada UDA Holdings seperti di Kompleks Pertama.

"Berniaga di dalam kompleks ini mempunyai risiko tapak perniagaan diambil balik, sewa dinaikkan dan sebagainya.

"Alasan bahawa takut untuk menjual lot kedai kepada peniaga bumiputera kerana mereka akan menjualnya semula kepada bangsa lain adalah tidak logik lagi... dulu mungkin tetapi sekarang orang Melayu telah berubah," tegasnya.

Raja Nong Chik berkata, beliau juga akan memberi tumpuan kepada kawasan yang ramai orang Melayu untuk membantu mereka menjalankan perniagaan yang berdaya saing.

"Kawasan-kawasan seperti di Kampung Baru, Lembah Keramat, Kampung Pandan contohnya, sudah lama dihuni oleh orang Melayu tetapi perniagaan mereka lebih tertumpu kepada membuka gerai.

"Jika dipindahkan ke bangunan yang cantik pula, kawasan itu mungkin tidak strategik dan mereka kehilangan pelanggan.

"Infrastruktur untuk menjalankan perniagaan di kawasan ini juga akan diperkemaskan," katanya.

Jelas beliau, oleh itu, kajian yang teliti perlu dilakukan terlebih dahulu agar bantuan dan perancangan ke atas golongan peniaga kecil Melayu ini tidak menjejaskan perniagaan mereka.

Katanya lagi, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga sedang melakukan kajian untuk memberikan lesen kepada peniaga sara diri yang terdiri daripada golongan susah, ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU) yang selama ini berniaga secara haram.

"Ada antara mereka yang berniaga satu atau dua jam di tepi jalan seperti menjual nasi lemak dan sebagainya untuk menyara keluarga. Mereka ini akan diberikan lesen.

"Perbincangan sedang dilakukan terhadap cara untuk mempercepatkan pengeluaran lesen, menghapuskan kerenah birokrasi dan sebagainya," jelas beliau yang menjangkakan hal itu akan diselesaikan dalam masa tiga bulan.

-Utusan
-----------------------------------------------------------------------------------------

Lihat kepada keadaan ekonomi sekarang, bukan sahaja Malaysia yang menanggung peritnya, malah seluruh dunia. Jepun yang dikatakan negara yang penduduknya adalah 'workaholic' itupun mempunyai statistik yang tinggi dalam pengangguran. Inikan pula Malaysia yang sedang membangun.

Usaha-usaha meningkatkan taraf hidup dan ekonomi rakyat, adalah apa yang diperlukan oleh negara sekarang, seperti mana yang dilakukan oleh Raja Nong Chik.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...